Nov 17, 2007

pemikiran sosio-industri : kritik

kritikan untuk perubahan peningkatan tidak harus dipandang remeh oleh majikan. rasional pekerja mengkritik majikan kebiasaannya merupakan suatu keadaan telus yang tidak digemari oleh mana-mana institusi. seringkali pendekatan ini dianggap sebagai pengaruh atau lebih tepat lagi anasir negatif walaupun kritik yang dilemparkan sama sekali tidak mempunyai hubungkait dengan simptom 'tunjuk pandai' atau menjatuhkan sesiapa. pengkritik mempunyai pandangan berbeza yang tidak menyalahi prosedur malah mungkin pihak pengurusan terlepas pandang tentang sesuatu isu.

setiap institusi pasti mempunyai beberapa kelemahan berikutan faktor kurangnya analisa terhadap kebajikan dan pembangunan pekerja. pengkritik pula harus bertanggungjawab kepada isu yang diutarakan dan mesti mempunyai rujukan serta mampu untuk berfikir semasa diskusi penyelesaian berbanding hanya membuat kenyataan lisan yang rapuh. proses perbincangan seharusnya ditangani dengan jalan terbaik menggunakan kaedah-kaedah penyesuaian terancang dan bukannya hanya tertumpu kepada persoalan yang terkeluar daripada kritikan tersebut. contohnya, pengkritik tidak perlu menyenaraikan penama yang menghentam majikan sedangkan isunya ialah tiada kenaikan gaji selama bertahun-tahun.

kehendak pekerja wujud daripada keadaan persekitaran yang mendesak dan majikan yang prihatin seharusnya dapat menjangka masalah ini lebih awal. keberkesanan pengurusan ialah apabila dapat menyediakan jawapan sebelum masalah timbul supaya keadaan pekerja lebih terarah dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk institusi. kajian pengurusan sumber manusia seharusnya bukan hanya bertumpu kepada penyelesaian malah harus cekap mentafsir setiap pekerja dan mempunyai cukup maklumat tentang mereka.

sesebuah institusi yang mudah menerima kritikan adalah lebih produktif kerana pekerja berupaya membuat penghasilan maksimum hasil daripada pendekatan positif tersebut.

No comments: